Wednesday, July 1, 2009

Efektifkah SIAP dalam menangani rasuah di kalangan penjawat awam?

Utusan Malaysia, 1 Julai 2009
Badan bebas siasat salah laku penjawat awam

KUALA LUMPUR 30 Jun - Penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) mampu mengubati kekecewaan orang ramai terhadap kegagalan jabatan dan agensi kerajaan yang gagal menghukum kakitangannya kerana melakukan kesalahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap kegagalan itu boleh membuat aduan susulan kepada SIAP yang merupakan sebuah badan bebas. ''Kalau kita gunakan saluran sedia ada, kita buat aduan kepada Jabatan Imigresen dan polis mengenai salah laku kakitangan mereka. Jika aduan tidak dilayan, maka kita boleh minta SIAP campur tangan. Siasatan ini akan melibatkan kakitangan yang melakukan salah laku dan jawatankuasa tatatertib di jabatan dan agensi kerajaan berkenaan kerana gagal mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap aduan orang ramai," katanya.


Selain aduan orang ramai, katanya lagi, SIAP juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat salah laku kakitangan awam walaupun tidak menerima aduan rasmi daripada mana-mana pihak. Beliau menegaskan, dakwaan pihak pembangkang bahawa SIAP seperti 'posmen' kerana hanya bertindak menyalurkan segala aduan orang ramai kepada jawatankuasa tatatertib di jabatan dan agensi kerajaan adalah tidak benar. ''Walaupun SIAP perlu menyerah setiap aduan yang diterimanya kepada jawatankuasa tatatertib di jabatan dan agensi berkenaan, ini bukan bermakna ia bersikap lepas tangan. Ia mempunyai hak untuk melakukan siasatan sendiri dalam bentuk pendengaran awam jika mendapati pihak terbabit tidak mengambil sebarang tindakan," katanya.

Menurut beliau, SIAP boleh mengeluarkan waran bagi memaksa para saksi hadir memberi keterangan dan jika individu berkenaan gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000. ''Seksyen 33(2) rang undang-undang ini juga memberikan kuasa kepadanya untuk menggeledah premis bagi mencari bukti kes," jelasnya.
komen: KSN (gambar) perlu bertindak segera kerana kelembapan ekonomi dalam negara antara puncanya disebabkan oleh penjawat awam, terutama Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang rasuah, lembab melaksanakan tugas dan terlalu muda serta tidak cukup terlatih dan pengalaman untuk melaksanakan tugas.